Dah pergi 3D scan tapi tak nampak la baby dalam perut…
Artikel kali ini bertujuan untuk memberi sedikit sebanyak pemahaman tentang faktor-faktor yang menjadi limitasi 3D 4D scan. Ini kerana sepanjang career saya, masih ramai pesakit yang menganggap 3D 4D ultrasound adalah semudah mengambil gambar dengan kamera telefon. Jadi harapan saya agar artikel ini dapat sedikit sebanyak membantu anda memahami cabaran melakukan 3D 4D ultrasound.
Biasakan kita dengar ada bakal-bakal ibu yang dapat imej 3D 4D yang banyak dan cantik-cantik. Sebaliknya, ada juga yang merasakan tidak puas hati kerana imej tidak jelas dan sikit pula tu. Sebenarnya, boleh disimpulkan begini untuk lebih mudah difahami. Jika keadaan dalam kandungan itu ideal, maka cantik lah gambar. Sebaliknya, jika ada keadaan yang tidak sesuai, maka imej 3D 4D menjadi kurang berkualiti, walaupun peralatan dan teknik yang digunakan adalah sama.
Marilah kita lihat beberapa faktor yang boleh menjejaskan kualiti imej 3D 4D, dan langkah-langkah biasa yang doktor atau sonographer akan ambil.
Bayi dalam posisi meniarap atau mengiring
Ingat ya, doktor atau sonographer hanya boleh scan di atas dan sebahagian tepi perut. Sekiranya muka bayi menghadap tulang belakang ibu, imej yang boleh diperoleh hanya bahagian belakang atau tepi bayi. Biasanya, sonographer akan meminta ibu mengiring untuk menggalakkan bayi berpusing. Sekiranya tidak berjaya, ibu akan diminta berjalan-jalan dalam tempoh 15-30 minit. Ini adalah faktor limitasi 3D 4D scan yang pertama.
Ada struktur lain di hadapan muka bayi
Faktor limitasi 3D 4D scan yang kedua pula ialah terdapat struktur lain di hadapan muka bayi. Antara struktur yang berkemungkinan berada di hadapan muka bayi ialah tangan, kaki, tali pusat, malahan placenta. Untuk keadaan ini, biasanya sonographer atau doktor akan mengambil langkah yang sama untuk menggalakkan bayi bertukar posisi.

Saiz bayi yang masih kecil
Seterusnya, faktor limitasi 3D 4D scan yang ketiga ialah saiz kandungan anda. Sekiranya anda menghubungi klinik untuk membuat temujanji 3D 4D scan, salah satu soalan yang pasti ditanya ialah berapakah umur kandungan. 3D 4D ultrasound boleh dilakukan seawal 16 minggu. Tetapi, waktu yang paling ideal ialah antara 26 – 33 minggu. Mengapa? Supaya imej yang terhasil lebih menyerupai bayi sebenar. Sebelum 26 minggu, anggaran berat bayi kurang daripada 700 gram, bayi masih kelihatan kurus dan muka cengkung. Menghampiri 28 minggu, anggaran berat bayi ialah 1kg. Pada waktu ini, bayi kelihatan lebih berisi dengan muka yang lebih chubby. Lebih banyak ekspresi muka yang dapat direkodkan.
Apa pula terjadi selepas 33 minggu? Bukankah bayi lebih berisi dan montel? Betul, tetapi kebanyakan pregnancy, selepas tempoh 33 minggu, keadaan dalam rahim menjadi semakin sempit. Ruang yang sempit pula menjadi limitasi mendapatkan sudut pengimejan yang baik.
3 faktor di atas, pada kebanyakan masa dapat diatasi dengan baik, asalkan ibu bersabar. Sesi 3D 4D boleh memakan masa secepat 15 minit atau sehingga 1 jam.
Di sini saya nak huraikan 2 faktor yang agak sensitif tetapi perlu difahami supaya sesi 3D 4D anda tidak menjadi satu proses yang mengecewakan. 2 faktor ini juga sukar untuk diubah, jadi sekiranya ada, anda boleh cuba untuk buat 3D 4D scan tapi mungkin sedikit mencabar.
Berat badan ibu (BMI tinggi)
Secara amnya, 3D 4D scan mudah dilakukan bagi wanita yang mempuyai julat berat badan di antara 45 hingga 70 kg. Sedikit mencabar sekiranya anggaran berat di antara 70 hingga 90 kg, dan sukar bagi anggaran berat 90kg ke atas.
Imbasan ultrasound ialah tenaga bunyi yang dibebaskan oleh transducer yang mempunyai kekuatan tenaga tertentu. Gelombang bunyi ini akan menembusi lapisan kulit, lemak dan air ketuban sebelum tiba di kulit bayi. Sebaik mengenai permukaan kulit bayi, tenaga bunyi akan dipantul semula kearah transducer. Signal pantulan bunyi inilah yang diproses untuk membentuk imej. Sepanjang proses ini, sebahagian tenaga bunyi hilang kekuatannya. Semakin banyak tenaga yang hilang, semakin kurang kualiti imej.
Bagi seseorang yang mempunyai berat badan di bawah 70kg, kehilangan tenaga adalah sedikit kerana lapisan abdomen yang tidak begitu tebal. Sebaliknya, semakin tebal lapisan abdomen dan lemak di antara transducer dan bayi, semakin banyak kehilangan tenaga berlaku. Secara tak langsung, kualiti imej menjadi kurang baik.
Kuantiti air ketuban (amniotic fluid)
Biasanya 3D 4D ni nak tengok muka bayi kan. Prinsip asas tentang air ketuban atau amniotic fluid ni ialah ia perlu ada dalam kuantiti mencukupi di hadapan muka bayi. Signal ultrasound yang sampai ke transducer hanya boleh membezakan struktur berlainan sekiranya terdapat amniotic fluid di antara 2 struktur berbeza. Sebagai contoh, sekiranya muka bayi terletak pada kedudukan yang sangat hampir dengan dinding rahim, maka ultrasound mentafsir keduanya sebagai signal yang sama. Imej yang terhasil adalah gabungan imej dinding rahim dan muka bayi yang akan menjadi tidak jelas. Keadaan ini banyak berlaku kepada wanita yang diketahui mempunyai amniotic fluid yang sedikit.
Oleh itu, sekiranya anda memiliki salah satu atau kedua-dua faktor di atas, anda masih boleh mencuba untuk melakukan 3D 4D scan. Apa yang penting, perlu pandai mencari pakej yang sesuai. Ada sesetengah tempat memberi peluang untuk pelanggan untuk datang sekali lagi sekiranya sesi yang pertama gagal menghasilkan sebarang imej berkualiti. Ada juga sesetengah tempat yang memberi perkhidmatan percuma sekiranya imej 3D 4D tidak dapat dihasilkan.
Ok, bila dah faham limitasi 3D 4D ultrasound ni, jom kita lihat tips penting yang perlu diketahui sebelum menghadiri temujanji 3D 4D ultrasound.
0 Comments